July 31, 2009

Tips: Pilih yang ada https://


Kecanggihan teknologi hari ini menyebabkan lebih ramai pengguna memilih untuk membeli-belah secara dalam talian. Mengapakah trend ini semakin berkembang dan apakah risikonya? Wartawan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF melaporkan perkara ini.

HASIL kajian syarikat informasi dan kaji selidik pemasaran terkemuka dunia, Nielsen Global Online menunjukkan lebih 627 juta penduduk dunia sudah mula menerokai pembelian secara dalam talian (online), sejak tahun 2005.

Lebih menarik, data tersebut turut memaparkan bahawa sejak tahun 2003 hingga 2005, pembelian secara maya telah melonjak sehingga 40 peratus.

"Jika sebelum ini, Internet menjadi lubuk informasi dan bahan kajian, tetapi kini ia bertindak sebagai 'alat' penting dalam kehidupan moden.

"Penggunaannya semakin berkembang sehingga menawarkan bermacam-macam kemudahan termasuklah proses jual-beli secara maya yang mendapat sambutan ramai," jelas Presiden Antarabangsa Nielsen Global Online, Jonathan Carson yang dipetik dari laman web Nielsen.com.

Mengikut perbandingan, penduduk Korea Selatan paling ramai membeli secara dalam talian dengan kiraan 99 peratus daripada pengguna Internet membeli-belah secara maya. Ia diikuti 97 peratus pengguna Internet dari United Kingdom, Jerman dan Jepun serta lapan peratus pembeli dari Amerika Syarikat (AS).

Mengapa masyarakat dunia mula terjebak membeli-belah secara dalam talian?

Bukan mudah menyemai kepercayaan masyarakat pada perniagaan yang berasaskan talian kerana risiko kesahihan proses jual beli, isu ditipu penjual, wang lesap dan barang yang tidak elok sentiasa ada.

Mengulas isu itu, Pengarah Getgorgeous.com, Siti Azlia Idha Abdul Latif, 27, yang menjual produk secara dalam talian berkata: "Enggan membiarkan pengguna terus bimbang, kami menampilkan rekaan laman web yang profesional dan prosedur transaksi pembayaran yang betul. Kami juga memaparkan nombor telefon tetap dan bimbit serta alamat pejabat supaya pelanggan yakin bahawa kami adalah syarikat jualan secara dalam talian yang sah.

"Bagi pelanggan yang was-was, biasanya mereka akan berkunjung ke pejabat kami di Puchong," jelasnya sambil memberitahu laman web Getgorgeous.com menjual koleksi busana dan aksesori untuk wanita bertudung.

Jelas Siti Azlia lagi, bagi menambah keyakinan pelanggan, pihaknya tidak pernah melengah-lengahkan proses penghantaran tempahan.

Sebaik sahaja menerima tempahan dan pembayaran di dalam akaun atau transaksi kad kredit sebelum pukul 3.30 petang, pelanggan berpeluang memperoleh produk yang dibeli pada keesokan hari.

"Selepas menerima tempahan, kami segera membungkus barang kerana tepat pukul 4 petang, van Pos Laju akan datang mengambil stok untuk diposkan kepada pelanggan.

"Bagi pelanggan tempatan, tempoh penghantaran hanya mengambil masa di antara satu hingga dua hari, manakala pelanggan antarabangsa seperti di Jepun, Australia, New Zealand atau Brunei, mereka perlu menunggu kurang daripada seminggu," ujar Siti Azlia yang menguruskan bisnes itu bersama adiknya, Siti Allia Aidha, 24, dan seorang teman, Nooraizan Mamat yang bertindak sebagai penasihat syarikat.

Pensyarah Perniagaan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Pahang, Mohd. Nazri Mohd. Noor, menjelaskan masyarakat kini tidak melepaskan peluang membeli barangan peribadi, rumah atau aksesori kenderaan secara dalam talian.

Katanya, faktor menjimatkan masa, wang, tenaga dan mudah mendapatkan item dari luar negara mendorong pembelian secara dalam talian.

PASTIKAN setiap pembelian yang dilakukan disertakan dengan invois daripada penjual.

Menurutnya, kebanyakan item yang dijual lebih murah kerana aliran perniagaan secara maya hanya melibatkan pihak pengeluar dan terus kepada pengguna.

"Ini berbeza dengan urus niaga pasaran yang melibatkan banyak pihak seperti pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Namun, katanya, biarpun secara tersurat, jual beli secara dalam talian dapat meningkatkan taraf ekonomi individu dan memudahkan pelanggan, tetapi yang tersiratnya, ia tetap mempunyai kekangan.

Nazri menjelaskan sebahagian pengguna tidak gemar memilih pembelian secara dalam talian kerana perlu mendedahkan data peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor kad kredit pengguna yang dianggap sulit.

Justeru itu, Nazri menyarankan sebelum melakukan sebarang pembayaran, pastikan laman web yang dikunjungi itu diiktiraf dan memiliki sistem sekuriti yang baik.

Ngomel Kak Jade: Pastikan alamat laman web berkenaan tertera https:// berbanding http://. Ini kerana https merupakan pangkalan data dan sistem sekuriti yang menjaga segala maklumat peribadi pengguna.


2 comments:

Suzi said...

tq berkongsi info ni...akak pun ada gak beli brg kat online...sejak duk sinilah...

GREENJADE said...

Suzi-sam2..tu la kans..cpt & mudah..juz klik2 jek hehe