October 15, 2010

Belanjawan 2011 Strategi Transformasi – Najib

Kupasan Intipati Belanjawan 2011
Ihsan dari blog : http://www.pemuda.com.my

Oleh Kazman Kamal

KUALA LUMPUR 15 Okt – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2011 berjumlah RM212 bilion yang menggariskan pelan strategi dan projek-projek utama ke arah mentransformasi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, beliau berkata, bajet ini memberi tumpuan kepada usaha “mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.”

Beliau menyifatkan bajet ini sebagai meletakkan “bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekaligus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju,” yang tinggal sembilan tahun, dua bulan dan 17 hari lagi.

Bajet bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi” itu memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu Mendaya Kembali Pelaburan Swasta; Membangunkan Modal Insan; Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam.

Bagi mendayakan kembali sektor pelaburan swasta, Najib berkata kerajaan akan mempergiatkan inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-10 akan dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.

Kerajaan pula menyediakan RM1 bilion daripada Dana Mudahcara.

Antara PPP ialah projek-projek lebuh raya baru Lebuh raya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuh Raya Guthrie-Damansara, Lebuh Raya Damansara-Petaling Jaya, Lebuh Raya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuh Raya Sungai Dua-Juru dan Lebuh Raya Paroi-Senawang-KLIA, Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 Megawatt di Kimanis, Sabah, untuk menambah kapasiti bekalan elektrik adalah untuk memenuhi permintaan
semakin meningkat.

Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, serta projek Academic Medical Centre dengan kerjasama John Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland melibatkan pelaburan swasta RM2 bilion.

Kerajaan juga, kata Najib, akan menggalakkan sektor swasta kembali memainkan peranan dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi.

Ini termasuk projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bernilai RM26 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun depan oleh 1Malaysia Development Berhad (1(MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala).

No comments: