October 13, 2010

Tips Kesihatan 1

Artikel ini di Internet
http://sihat.wanita.us/
http://tipswanitasihat.blogspot.com/

Daya ingatan kita akan semakin berkurangan seiring dengan peningkatan
usia. Ingatan dan kemampuan mengingat adalah apabila sel-sel otak
saling berhubung. Semakin banyak sel-sel ini berhubung dan semakin
banyak sambungan itu semakin mudah dan kekal daya ingatan kita.

Pemakanan adalah perkara paling penting dalam meningkatkan dan
mengekalkan daya ingatan. Makanlah makanan seimbang. Tubuh akan jadi
sihat dan otak pun cergas. Begitu juga dengan senaman dalam kadar yang
tetap.

Terdapat kajian, makanan yang mempunyai Omega 3 yang tinggi dapat
meningkatkan daya ingatan. Omega 3 boleh didapati melalui minyak ikan.
Pengambilan minyak ikan seperti ikan kod dan salmon dapat membantu
meningkatkan daya ingatan. UK dan USA FDA mencadangkan pengambilan 3
gram (Omega 3) dalam seminggu adalah baik untuk kesihatan jantung.
Makan sardin sebanyak 100 gram dengan isi kandungan 2 gram Omega 3 dua
kali seminggu boleh mencapai kita kepada matlamat ini. Omega 3 bukan
sahaja untuk jantung malah untuk otak kita.

Ginkgo Biloba dikatakan dapat membantu dalam meningkatkan daya
ingatan. Herba Ginkgo Biloba yang dihasilkan daripada pokok Ginkgpceae
membantu dalam meningkat edaran darah. Darah yang mengalir dengan baik
membantu penghantaran lebih banyak oksigen yang digunakan oleh otak.

Herba seperti Gotu Kola turut didapati membantu edaran darah dan
meningkatkan daya ingatan. Bekalan oksigen yang cukup amat penting
buat fungsi otak. Tanpanya otak akan dahulu mati berbanding dengan
organ badan yang lain. Bagi yang merokok inilah masa untuk berhenti
merokok. Merokok boleh mengurangkan oksigen ke otak. Bahan kimia dan
narkotik yang terkandung di dalam rokok boleh mengganggu keseimbangan
kimia dalam otak. Arak dan alkohol turut menggagalkan otak berfungsi
dengan baik. Hentikan pengambilan alkohol kerana selain memudaratkan
otak ia turut merosakkan hati.

Tidur amat perlu untuk ingatan dan pemikiran. Sewaktu tidurlah otak
memainkan semula apa yang perlu disimpan dan dibuang. Untuk tidur yang
baik bagi orang dewasa adalah sekitar 6 ke 8 jam manakala bagi
kanak-kanak pula adalah 12 jam. Tidur juga perlu pada waktu malam.
Dari segi biologi kita, malam adalah waktu rehat untuk otak dan badan.
Badan pula pada waktu ini lebih aktif menjalankan kerja pembaikan dan
pemulihan. Tempat tidur juga perlu selesa dan paling elok dalam
keadaan gelap.

Terdapat kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Sekolah Perubatan
Harvard, mereka yang belajar kemudian tidur dengan cukup, lebih mudah
mengingat perkara yang dipelajari keesokan harinya. Perbandingan ini
dibuat dengan mereka yang belajar pada waktu pagi, kemudian diuji 12
jam kemudian sebelum mereka tidur.

Untuk anda yang akan menjalani peperiksaan bermulalah dari awal
berminggu-minggu sebelum peperiksaan. Belajar pada waktu awal malam
supaya dapat tidur awal untuk mendapat jumlah tidur yang cukup. Pada
sebelah pagi selepas tidur, ulang kaji ringkasan apa yang telah
dipelajari sebelum tidur.

Ikuti bahagian ke dua di http://tipswanitasihat.blogspot.com/ atau
langgani Email terhad Tipswanita.
http://groups.google.com/group/tipswanita Atau hantarkan email kosong
kepada tipswanita-subscribe@googlegroups.com